KUALA LUMPUR: BN Youth Job Fair yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia KL (WTC KL) selama tiga hari bermula 24 Jun ini bakal menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, karnival berkenaan turut mensajikan peluang padanan dengan majikan dari 300 syarikat gergasi termasuk agensi kerajaan dan korporat seperti PRIMA, Sepadu, DRB-Hicom, TNB, Boustead, MARA, sehinggalah ke McDonalds dan Coffee Bean.

Selain itu, jelasnya lagi, terdapat juga bengkel untuk golongan belia lebih memahami realiti pasaran pekerjaan masa kini serta cara penyediaan ringkasan maklumat diri (resume) supaya menetapi kriteria majikan.

“Kita bantu anak muda di luar sana bagaimana nak sediakan biodata dan resume terbaik, bagaimana nak berhadapan dengan temuduga, ada juga ceramah daripada pelbagai profesion, dalam konteks memberikan pencerahan berkenaan industri yang ada.

“Kita cuba memberikan pencerahan berkenaan industri yang ada, untuk mereka lebih memahami dan dari industri pelbagai, industri yang pelbagai dari aspek kejuruteraan, kerajaan sehinggalah kepada pendidikan, dan rantaian makanan dan minuman,” katanya lagi.

BN Youth Job Fair, jelas Asyraf, bukan sekadar karnival kerjaya sahaja, tetapi juga platform untuk mereka memiliki dan mencapai impian atau objektif kehidupan masing-masing.

Dengan hanya di bawah satu bumbung, beliau berkata, masyarakat mampu mendapat peluang kerjaya selain mengembangkan lagi masa hadapan mereka.

Dalam pada itu, Asyraf turut mengingatkan mereka yang ingin hadir ke karnival tersebut untuk berpakaian kemas memandangkan sesetengah majikan menyediakan peluang temuduga secara terus di gerai masing-masing.